Rekaan Proton Prevé

Proton mencipta muka utama baharu dengan Prevé. Hasilnya ialah Proton Wings, kesatuan unsur rekaan yang menggabungkan lampu kepala, lambang Proton dan gril masukan udara, memberikannya kelihatan seperti seekor burung yang sedang terbang naik.[32] Bahagian luaran kereta digayakan untuk mengurangkan pekali seret dalam usaha untuk menambah baik kecekapan bahan api.[32] Proton bekerjasama dengan Italdesign Giugiaro dari Itali untuk pembentukan gaya dan rupa Prevé.[2] Syarikat itu juga bertanggungjawab atas reka bentuk kereta konsep Proton Tuah. Azlan Othman, Ketua Gaya Proton juga dihantar ke Turin, di mana beliau menyumbang kepada unsur-unsur reka bentuk Prevé dalam kerjasama dengan Italdesign yang berlangsung hampir setahun.[3]

Pengarah Kanan Operasi Kumpulan Proton ketika itu, Dr. Wolfgang Karl Epple mendedahkan bahawa Proton Prevé telah dibangunkan oleh sebuah konsortium antarabangsa yang terdiri daripada pakar-pakar dari Malaysia, Itali, Perancis, Jerman dan Korea Selatan.[2] Selain itu, beberapa komponen kereta itu juga diperoleh daripada Jepun, Korea Selatan, Australia dan Eropah. "Jika anda meletakkan bahan-bahan global dalam komponen, orang, proses, gaya dan bungkusan, anda akan memperoleh sesuatu yang global.", Epple mengulas.[2] Walau bagaimanapun, Proton kemudiannya mendakwa bahawa 94% komponen Prevé adalah sumber tempatan sebagai usaha untuk mengurangkan aliran keluar modal.[10]

Prevé juga merupakan kereta buatan Malaysia pertama yang dipasang dengan lampu pencahayaan siang (DRL) LED di kilang.[32] DRL mungkin menambah baik daya tarikan visual kereta, tetapi yang lebih penting ialah ia membantu menambah baik keselamatan jalan raya dengan membolehkan kereta dilihat dengan jelas pada waktu siang.[33][34] Setakat ini tiada peraturan di Malaysia yang mewajibkan penggunaan DRL, tetapi ia diwajibkan bagi kesemua kereta penumpang yang dipasarkan di negara-negara ahli Kesatuan Eropah setakat 7 Februari 2011 di bawah Arahan EU 2008/89/EC.[35]

Prevé juga merupakan antara kereta yang lebih besar dalam kategori segmen C yang asalnya dipopularkan oleh Jepun dan Korea di pasaran Malaysia.[36]

Rujukan

WikiPedia: Proton Prevé http://www.ancap.com.au/pdf/516.PDF http://www.caradvice.com.au/231533/proton-preve-re... http://www.goauto.com.au/mellor/mellor.nsf/story2/... http://protonpreve.com.au/pricing-specs/ http://www.protonpreve.com.au/ http://www.themotorreport.com.au/55267/proton-prev... http://www.infrastructure.gov.au/roads/safety/publ... http://www.protonchile.cl/preve.php http://www.autoevolution.com/news/proton-tuah-conc... http://www.bangkokpost.com/auto/autoreview/332951/...